? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "S BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Tuesday, August 17, 2010

Dedikasi Buat Mok Aji

Daun-daun dibawah pohon rambutan yang rimbun bersih disapunya supaya halaman menjadi bersih sebersih dirinya. Ayam-ayam yang berkokok mengais-gais mencari cacing untuk sarapan pagi barangkali. Segenggam dua perdu rumput yang tumbuh meliar dicabutnya menampakkan tanah-tanah merah pekat kecoklatan jelas bersama akar yang masih putih. Bukan mahu dikhianati rumput itu. Tetapi sekadar membersihkan halaman yang sedia bersih. Orang tua mana tahu duduk diam macam orang bandar. Mungkin itulah yang selalu terlintas difikirannya setiap kali anak menantu menyuruh nenek berehat.

Waktu pagi beginilah nenek melakukan latihan yang boleh digelar senaman mungkin sebagai aktiviti hariannya. Memang tidak dinafikan, nenek kuat orangnya. Walaupun usianya hampir mencecah 80an, tetapi dia masih gagah mengabadikan diri kepada tuhan. Sekali-sekala anak dan menantunya akan membawanya ke bandar untuk duduk sementara bersama mereka dan setiap kali itulah dia minta dihantar pulang bila agak lama disana. Bukan malas melayan karenah tetapi dia mahu melakukan tugas hariannya yang sedari muda menjadi darah dagingnya.

Usai menjamah lidi membersihkan laman, dia mencapai seberkas beg plastic berisi dedak ayam untuk dihidangkan kepada ayam-ayam yang sedari tadi masih tekun menguis-nguis tanah mencari cacing. Masing-masing berlumba mendapatkan makanan yang dihidangkan nenek. Tersengih-sengih nenek melihat ayam-ayam peliharaannya berebut-rebut sehingga ada yang tersungkur rebah. Mungkin itulah cara nenek menghilangkan rasa rindunya pada anak-anak. Bukan dia tidak mahu tinggal bersama mereka tapi dia lebih senang duduk sendirian. Senang untuk kesana-sini katanya.

Perut mula berbunyi. Dia bingkas bergerak masuk ke dalam rumah dari laman. Terus ke dapur. Mencari-cari cerek untuk dipanaskan air. Air dimasukkan kedalam cerek dan diletaknya diatas dapur kayu yang masih belum dihidupkan apinya. Dirumah itu bukan tidak ada dapur gas tapi nenek lebih suka menggunakan dapur kayu. Makanan pun sedap walaupun lambat masaknya kerana sukar untuk mengawal api bagi yang tidak mahir tentang penggunaanya. Diambilnya mancis dari atas para dan dicucuhnya kepada kertas surat khabar lama yang diambil dari atas gobok usang yang lompong sana sini. Diletaknya kertas tadi kedalam sekumpulan kayu api.

Nenek menarik nafas dalam-dalam sebelum dihembuskannya pada bara api yang semakin bercahaya dimamah api. Habis hitam muka nenek bertepek debu-debu berterbangan yang ditiupnya tadi. Peluh menitik ke pipi. Segera disapunya dengan lengan baju lusuh hijau zamrudnya. Dibiarkan air mendidih seketika, dia mencapai bekas berisi jejemput mentah yang likat basah untuk digorengkan sebagai sarapan pagi. Dibuatnya air teh dari air panas tadi dan dihidangkan bersama jejemput panas diatas gelegar rumah yang jarang itu. Mula mengisi perut yang kosong untuk cacing-cacing perut yang kebuluran meminta makanan sejak subuh.

Tengahari itu sebelum azan zohor memanggil, nenek sempat membersihkan keringat terlebih dahulu. Mahu kelihatan bersih dan segar ketika menghadap Tuhan Rabbul Izzati. Tangan tua yang jelas kelihatan urat berselirat, gagah menarik baldi yang diturunkan kedalam perigi untuk mendapatkan air. Kawasan kampong tempat nenek tinggal bukannya tidak dilengkapi dengan kemudahan air kerajaan tetapi nenek tidak mahu memasangnya. Katanya tidak mahu menyusahkan anak-anak membayar bilnya. Cukuplah dengan bekalan eletrik yang lebih utama. Itulah nenek. Agak degil kedengaranya. Tapi dari pengamatan saya, sikap warga emas memang begitu. Usah dikatakan mereka, kita yang muda ini pun banyak yang tidak mahu mendengar teguran yang tua. Dunia itu bulat.

Setimba dua, nenek berhenti menarik air dari telaga usang itu. Berhenti untuk menyabun dan membuang daki-daki yang bersisa. Masih sempat nenek memberus periginya dari lumut-lumut yang melekat dikiri kanan perigi. Membuang ranting-ranting mati yang jatuh ke kawasan mandian. Dicabutnya rumput-rumput liar yang ligat tumbuh walau baru dua hari lalu nenek bersihkan. Kemudian disambungnya balik bertimba-timba. Akhirnya, nenek mengambil wuduk bermula dari tangan hingga ke kaki untuk menyahut panggilan Ilahi.

Nenek turun dari rumah menuju ke surau yang hanya selangnya tiga buah rumah. Dari jauh jelas kelihatan kawan-kawan nenek sama-sama mahu menunaikan solat. Selalunya, apabila nenek turun dari rumah untuk solat zohor selepas asarlah baru dia pulang. Di surau itu banyak aktiviti yang dijalankan oleh jemaah masjid. Disitu nenek boleh belajar tajwid, membaca al-quran, mendengar tazkirah dan kadang-kadang nenek tertidur menantikan solat asar. Hendak pulang ke rumah agak sunyi. Baik dihabiskannya disurau bersama rakan-rakannya sambil mencari keredhaan Allah.

Azan zohor berkumandang ketika nenek memijak anak tangga ketiga. Sempat juga dia menunaikan solat sunat masjid dan solat sunat zohor sebelum sama-sama berjemaah bersama penduduk kampong yang lain. Selesai solat nenek berdoa semoga anak-anak cucunya dilindungi oleh Allah dan mendapat petunjuk hidayah daripadanya. Kemudian nenek meneruskan dengan aktiviti yang selalu dilakukannya. Kadang-kadang waktu begini ada beberapa orang anak penduduk kampong datang menghampirinya untuk diajarkan mengaji al-quran. Nenek tidak pernah menolaknya. Malah menerimanya dengan senang hati.

Selesai solat asar, nenek pulang kerumah semula. Melipatkan kain sembahyang yang lusuh dipenuhi tahi lalat dan disidainya pada tali yang diikat dari hujung dinding ke tengah tiang rumah. Disitu jugalah disangkutnya tuala mandi dan semua baju-baju yang masih mahu dipakainya. Nenek turun kembali ke luar rumah. Mengambil penyapu dan menyapu halaman yang dipenuhi guguran daun rambutan yang mati tidak bermaya ke bumi yang semakin tua ini. Sekali lagi diambilnya sebungkusan dedak ayam untuk diberikan makan petang.

Selesai semuanya, nenek berjalan pula ke hulu rumahnya mencari rumah jiran untuk sama berkongsi cerita dan menggobek sireh. Lama juga dia disitu bercerita itu dan ini. Ketawa yang jelas gigi palsu putih berkarat kelihatannya. Ada masanya penduduk kampong singgah ke situ dan dihulurkan buah-buahan atau sedikit makanan untuk dimakan bersama. Nenek suka begitu. Dia tidak berasa sunyi. Nenek seronok disitu. Ramai kawan-kawan datang hampiri. Bukan sahaja yang sebaya nenek, malah ada yang masih muda pun turut ada disitu. Mungkin masing-masing tidak mahu bersendirian dirumah. Mungkin mahu menghilangkan rasa bosan.

Maghrib semakin menghampiri apabila mereka mula bersurai meninggalkan sudut berborak tadi. Nenek juga. Sekali lagi dia mengambil tuala dan turun ke sudut mandian untuk menghilangkan keringat seharian. Selesai mandi dan mengambil wuduk, nenek bersiap-siap untuk ke surau. Barangkali isya’ baru nenek pulang. Nenek segera bergegas takut tertinggal rakaat seterusnya.

Selesainya maghrib dan isya’, jemaah selalunya dihidangkan dengan makanan yang disedekahkan penduduk kampong. Nenek sempat menjamu rezeki dari Allah itu. Nenek makan sehingga perut tidak lagi berkeroncong lapar. Kemudian nenek pulang untuk berehat. Esok nenek bangun dengan izin Allah dan terus melakukan rutin harian tersebut. Terus berkhidmat untuk makhluk Allah yang masih terdapat dibumi Allah ini. Bila tiba hujung minggu, jadual nenek sedikit berubah. Anak-anak cucu pulang ke kampung. Nenek seronok juga. Mendengar keletah cucu-cucu. Mengusik-usiknya sehingga tersengih-sengih menahan ketawa. Kadang-kadang sampai berairmata.

Mok, rindu hati ini ingin menatap wajahmu. Ingin melihat senyummu. Namun apakan daya aku masih diperantauan. Rindu benar hati ini meronta-ronta ingin meminta pulang. Tapi tugasan masih belum mengizinkan. Mok, di usia tua begini tidak usahlah berpenat lelah lagi untuk itu dan ini. Mok berehatlah. Hilangkan sakit sendi-sendimu. Mok, jika dibenarkan pulang ingin aku berlari memelukmu. Menarikmu kedalam pelukan eratku. Ingin aku lakukannya. Semoga air mata kerinduan tidak lagi luruh menjamah pipi gebu ini. Supaya aku tidak lagi tidur bertemankan airmata kerinduan.

Ya Allah Ya Tuhanku,
Ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku, datuk nenekku, guru-guruku, adk-beradikku, saudara-maraku, kawan-kawanku, jiran-jiranku serta mereka yang bersama-samaku.
Panjangkanlah usia mereka.
Terimalah amalan mereka.
Terimalah taubat mereka.
Perkenankanlah setiap doa mereka.
Permudahkanlah segala urusan mereka.
Ya Allah,
Bukakanlah pintu rezeki untuk mereka.
Tunjukkanlah mereka jalan yang lurus.
Matikanlah mereka dalam keimanan.
Serta kau sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangiku ketika aku masih kecil.
Amin Ya Rabbal ‘Alamin..

0 comments: